Monday, June 21, 2010

Tembok Penjara Pudu berusia 100 tahun diroboh malam ini


Tiba detik 10 malam esok, tembok Penjara Pudu di sini yang berusia 100 tahun, setinggi 4.5 meter dan sepanjang 394 meter yang menghadap Jalan Pudu akan dirobohkan.

Seandainya tembok itu boleh berkata-kata, mungkin ia akan mengatakan bahawa 100 tahun sudah cukup baginya menyaksikan pelbagai peristiwa suka duka, pahit manis dan kini tiba masa untuk merelakan dirinya tumbang menyembah bumi setelah 14 tahun dilanda kesepian.

Mungkin ia juga akan mengatakan bahawa dirinya yang dahulunya gah dengan mural sepanjang 384 meter yang mencatatkan rekod sebagai yang terpanjang di dunia, kini sudah tidak tidak bererti lagi.

Penjara Pudu atau dahulunya dikenali sebagai Pudu Goal terletak di Jalan Hang Tuah mula dibina pada tahun 1891 di atas tanah seluas 10 hektar. Pembinaan penjara tersebut dibuat secara berperingkat-peringkat dan siap sepenuhnya pada tahun 1895.

Tembok penjara yang dibina daripada batu bata yang dilepa dengan simen dan diimport dari negara penjajah Britain, mula dibina pada Februari 1891 dan siap pada Ogos 1892. Kos bagi pembinaan tembok ini sahaja bernilai RM15,360.90 (harga pada tahun 1800-an).

Namun begitu, kedudukannya di dalam kawasan segitiga emas Bukit Bintang yang pesat membangun dengan bangunan pencakar langit dan kesesakan arus lalu lintas terutamanya di Jalan Pudu menyebabkan bangunan penjara ini tidak lagi dapat dipertahankan dan terpaksa akur pada arus pembangunan.

Justeru, apabila Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail mengumumkan cadangan merobohkan tembok penjara Pudu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelebaran dan laluan bawah tanah di Jalan Pudu baru-baru ini memberi isyarat bahawa penjara yang menyimpan seribu satu kenangan yang nyata dan misteri itu akan hanya tinggal dalam lipatan sejarah.

Salah satu bahagian penjara yang banyak melakarkan cerita misteri ialah di Blok D yang menempatkan bilik akhir dan bilik gantung yang menyaksikan 180 pesalah menjalani hukuman gantung sampai mati di situ dari tahun 1960 hingga 1993.

Penjara berusia lebih seratus tahun ini juga pernah mencatat sejarah hitam yang tersendiri iaitu pada tahun 1985 apabila dua orang awam, Dr. Radzi Jaafar dan Dr. Abdul Aziz Abdul Majid ditawan oleh enam orang banduan reman yang diketuai Jimmy Chuah. Penawanan berakhir selepas enam hari apabila banduan itu menyerah diri.

Pada tahun 1985 penjara ini juga mencatatkan bilangan banduan yang tertinggi iaitu seramai 6,550 orang pada satu masa yang menyebabkan kesesakan dan memaksa banduan tidur secara bergilir-gilir.

Ekoran itu pada 1996 setelah 100 tahun menabur bakti, Penjara Pudu ditutup dan digantikan dengan Penjara Sungai Buluh, Selangor, 36km dari bandar raya Kuala Lumpur.

Tinjauan Bernama mendapati, proses meratakan tanah di bahagian dalam dan bersebelahan bangunan telah selesai dan kerja meroboh tembok dijangka dimulakan malam esok, Isnin pada pukul 10 malam.

Kerja-kerja meroboh kompleks penjara itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada warga kota terutama bagi mereka yang mengetahui sejarah dan keunikan bangunan tersebut.

Bagi Prabu Munusamy, 32, beliau terkilan dengan tindakan tersebut berikutan bangunan penjara itu mampu berperanan sebagai tarikan pelancong.

Menurutnya, walaupun bangunan tersebut pernah ”menyimpan” mereka yang melakukan jenayah, namun ia wajar dipelihara kerana mempunyai nilai yang tersendiri.

“Bangunan ini pernah menempatkan penjenayah yang terkenal sejak dulu, jadi sampai hari ini pun ramai orang datang mahu melihat dan mengambil gambar bangunan ini,” katanya.

Chew Chong Huai, 52, berkata, tindakan tersebut amat menyedihkan memandangkan bangunan tersebut mempunyai nilai sejarah dan seharusnya dijadikan tapak warisan di tengah-tengah bandar raya ini.

“Kalau di luar negara contohnya di China, bangunan bersejarah seperti ini akan disimpan dan dipelihara dan dijadikan sebagai warisan untuk tarikan pelancong,” katanya.

Bagi Irwan Hashim, 32, tindakan merobohkan tembok dan penjara berkenaan bagi tujuan pembangunan adalah tidak wajar tambahan pula bandar raya Kuala Lumpur sudah semakin sesak dengan pembangunan.

“Cukuplah pembangunan, Kuala Lumpur ini sudah padat dengan bangunan, kompleks membeli-belah dan sebagainya, janganlah sampai pembangunan memusnahkan warisan kita yang mencerminkan siapa kita,” katanya.

Sementara itu seorang pelancong dari Filipina, Farancisco B. Lopez, 49, berkata, Penjara Pudu sepatutnya dipelihara dan dijadikan tarikan pelancong seperti penjara Alcatraz di California, Amerika Syarikat.

“Ini satu pembaziran dan tidak digunakan. Saya diberitahu bahawa bangunan ini merupakan salah satu peninggalan sejarah di negara ini kerana ia dibina pada era (penjajahan) Britain pada tahun 1800,” katanya.

2 comments:

  1. eh bukan 115 thun ke ? nway tq 4 de information aite. tengok juga berita tadi :)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...